Sungguh.
Rasa seperti diri
ini terlalu cepat jatuh cinta.
Hari ini saja, sudah
berkali-kali rasanya aku jatuh cinta.
Aku fikirkan hari
ini biasa-biasa sahaja. Bermula dengan rutin biasa, lancar, kecuali beberapa
panggilan telefon dari dia yang tak sempat aku jawab. Dan kerana panggilan
berkali-kali yang tak berjawab itu, aku fikirkan kemurungan aku akan
berlanjutan sepanjang hari, atau selama mana dia mahu melihat aku begitu.
Aku
menghela nafas berat. Bertelingkah macam mana sekalipun, tugas tetap tugas.
Bukan mengabaikan dia, bukan mengabaikan soal hati, tapi ada perkara lain yang
memerlukan perhatian, minta diselesaikan. Kalau nak dilayan perasan, ini bukan
waktunya. Kerana ada atau tidak dia di sisi, aku tetap perlu terbang tinggi.
Dan
hari ini aku jatuh cinta pada karya, pada sebuah persembahan dengan
sinematografi yang mempesona, jalan cerita biasa, tapi disampaikan dengan gaya,
irama dan kata-kata bermakna. Cukup bermakna. Buat aku tersenyum dengan makna,
juga. Bahagia dalam merelakan. Merelakan dalam tangisan. Begitulah. Cukup dekat
rasanya penceritaan itu.
Dan
kemudian aku bertemu lagu-lagu yang juga dekat dengan jiwa. Dan akhirnya pada
lagu-lagu itu juga aku jatuh cinta, lalu ku jadikan latar sambil menelaah
nota-nota yang sedari tadi meminta perhatian.
Untuk
hati yang masih berharap, tak sanggup juga aku kecewakan. Mengenangkan naluri
yang jarang sekali tersasar, aku fikir untuk merelakan. Mungkin ada bahagianya
nanti.
Kerana
cinta itu membebaskan. Maka bebaskanlah. Jika ia kembali, ia akan kembali ke
tempat yang selayaknya.
“Jika dia yang
kupilih, adalah juga pilihanMu, Kau aturkan kisah hidup kami ke satu destinasi
yang Kau restui.” – NHTrueLove
7 pm
17 Mei 2017